Bincangkan sistem sosial masyarakat tradisional di Thailand dan Vietnam sebelum campurtangan Barat .

A. Pendahuluan
Dalam pemerintahan bercorak feudal bagi masyarakat di negara-negara Asia Tenggara, wujud satu hirarki di bawah pemerintahan seorang raja dan kuasa seorang pembesar wilayah yang sangat jelas. Sistem ini berbentuk piramid iaitu terdapat golongan pemerintah dan yang diperintah. Di Vietnam, masyarakat feudal terdiri daripada maharaja, golongan mandarin (cendekiawan) dan rakyat (petani) , manakala di Thailand diterajui oleh golongan Raja dan Nai dan golongan diperintah iaitu Phrai dan That.

1. Vietnam
Masyarakat feudal Vietnam terdiri daripada maharaja di puncak teratas diikuti oleh golongan cendekiawan/pentadbir dan petani. Sistem pemerintahannya merupakan sistem pemusatan kuasa melalui birokrasi pusat. Golongan cendekiawan/pentadbir (mandarin) menduduki lapisan kedua dalam susun lapis masyarakat. Ini diikuti golongan petani.
Dalam masyarakat tradisional Vietnam, taraf pendidikan, ijazah dan jawatan dalam pentadbiran awam serta kuasa merupakan pertimbangan penting. Syarat-syarat ini menandakan sama ada seseorang itu menjadi pegawai atau pekerja bawahan. Pendidikan berasaskan ajaran Confucius menjadi kayu ukur yang mengasingkan golongan petani dengan golongan mandarin. Golongan mandarin mempunyai kuasa besar dan berpengaruh. Mandarin bertanggungjawab menentukan beberapa aspek kehidupan rakyat termasuk keluasan rumah, bentuk dan warna pakaian yang mesti dipakai, upacara keagamaan yang berkaitan dengan pengkebumian. Hanya sebilangan kecil rakyat berpeluang menjadi golongan mandarin dan pangkat golongan mandarin tidak diwarisi.

Pada abad ke 19 masyarakat Vietnam tidak lagi terdiri daripada golongan bangsawan kerana Maharaja Gia Long telah menghapuskan keistimewaan yang dipegang oleh golongan bangsawan dan kerabat raja. Sejak tahun 1839, semua punca pendapatan golongan ini dibayar dengan wang dan beras.
Rakyat miskin dan tidak mendapat sokongan mandarin hanya diberi pendidikan rendah supaya mereka memahami adat istiadat, kesopanan dan amalan hidup. Petani menjalankan kegiatan ekonomi sara diri seperti menanam padi sawah. Setiap kampung terlibat dalam pengkhususan seperti menenun atau membuat pertukangan tangan.

2. Thailand
Masyarakat feudal Thailand kekal dengan sistem Nai-Phrai-That dan Sakdina. Institusi raja terletak pada lapisan teratas dan di bawahnya golongan bangsawan ( Khunnang atau Chao) dan putera-putera raja yang dikenali sebai Nai atau tuan masyarakat. Di bawah Nai ialah rakyat biasa (Phrai) diikuti golongan hamba(That). Golongan Sangha juga memainkan peranan penting dalam masyarakat feudal di Thailand. Asas kepada susun lapis ialah Sakdina contohnya Raja Muda diberi 100,000 sakdina manakala That 5 sakdina.

Golongan Nai merupakan golongan kedua penting selepas raja. Mereka terdiri daripada golongan Chao atau Khunnang dan berperanan sebagai pemimpin masyarakat. Golongan Phrai dikehendaki mendaftarkan diri dengan seorang Nai yang menjadi penaung dan pelindung. Hubungan Nai Phrai lebih kepada hubungan patron-client (penaung-pelanggan). Phrai menjadi sumber kekayaan dan kekuasaan golongan Nai. Golongan Nai bertanggungjawab terhadap segala aspek kehidupan Phrai termasuk keluarganya. Jika Nai gagal menjaga kebajikan Phrainya, beliau boleh dihukum. Phrai terdiri daripada rakyat lelaki bebas. Mereka dikehendaki mendaftar diri dengan seorang Nai dan jika gagal mereka dianggap sebagai penjenayah atau orang buangan masyarakat dan tidak mempunyai harta.
hat adalah hamba kepada golongan nai atau Phrai yang kaya. Mereka tidak bebas tetapi berhak memiliki tanah dan harta. That mempunyai Sakdina sebanyak 5 rai. Tuan hamba kepada That tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas semua aspek kehidupan That kerana terdapat undang-undang yang melindung That.
Terdapat dua kelas That yang penting iaitu hamba belenggu hutang dan hamba tawanan perang. That lebih suka mengekalkan kedudukan sosial mereka kerana kehidupan That lebih senang berbanding Phrai. Sangha mempunyai kedudukan istimewa dan dikecualikan daripada sistem Nai-Phrai-That. Kedudukan sosialnya lebih tinggi dan mulia kerana sangha berperanan sebagai pendidik dalam soal keagamaan kepada semua lapisan masyarakat.
C. Kesimpulan
Struktur sosial masyarakat feudal di Vietnam mempunyai mobiliti sosial melalui peperiksaan. Anak-anak petani yang lulus peperiksaaan mempunyai peluang dilantik sebagai pegawai perkhidmatan awam. Di Thailand, lebih terikat kepada golongan bangsawan, keturunan dan kekuatan sakdina.

Comments

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir

TERANGKAN CIRI-CIRI PEMBANDARAN TAMADUN ROM