Proses perluasan kuasa British di Sabah


Pengenalan

Sebelum kedatagan Barat, Sabah atau Borneo Utara berada di bawah pentadbiran Kesultanan Brunei. Namun begitu selepas 1674, Sabah ditadbir pula oleh tiga kuasa yang berlainan. Kawasan pantai antara Pandasan hingga Kimanis terletak di bawah kekuasaan Brunei. Kawasan pantai dari Teluk Marudu hingga ke Sungai Sibuku berada di bawah kekuasaan Kesultanan Sulu. kawasan pantai dari Pandasan hingga ke Teluk Marudu dikuasai oleh para pembesar bebas bergelar ‘Syarif’ manakala kawasan pedalamannya pula dikuasai oleh penduduk peribumi. Perluasan kuasa asing di Sabah bermula dari tahun 1865 dan pihak British mulai berjaya menguasai Sabah menerusi Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada 1881 dan seteusnya mengukuhkan kekuasaanya pada 1888 apabila Sabah menjadi negeri naungan British.


Proses perluasan kuasa British di Sabah

Perluasan pengaruh asing di Sabah melibatkan beberapa tokoh pedagang bermula apabila pada tahun 1865 seorang warga Amerika iaitu Claude Lee Moses mendapatkan dua konsesi pajakan beberapa kawasan di Sabah daripada Sultan Abdul Mu’min (Brunei) selama sepuluh tahun dan tempoh konsesinya boleh diperbaharui. Konsesi pajakan pertama meliputi kawasan dari Sungai Sulaman di pantai barat hingga Sungai Paitan di timur laut. Manakala kensesi pajakan kedua pula meliputi kawasan Benoni, Kimanis, Paitan, Sugut, Bongaya, Babuk, Sandakan, Kinabatangan, Cagayan dan Muning.

Namun begitu bagi mendapatkan keuntangan segera, Moses telah menjual hak pajakannya kepada pedagang Amerika di Hong Kong diketuai oleh Joseph William Torrey dan Thomes B. Haris serta seorang pedagang Cina, Wo Hang. Torrey kemudian menubuhkan The American Trading Company untuk memajukan kawasan tersebut. Pemindahan milikan pajakan tersebut telah disahkan oleh Sultan Abdul Mu’min pada 24 November 1865. Sebagaimana Moses, Joseph Torrey juga gagal untuk mengaut keuntungan terhadap pajakan tersebut lalu menjual konsesinya kepada Gustavus Baron de Overback iaitu Konsul-Jeneral Austria di Hong Kong pada tahun 1875.

Disebabkan kekurangan modal, Overback telah menjalankan usahasama dengan syarikat British yang dimiliki oleh Dent Brothers pada tahun 1877. Kerjasama ini telah mencetuskan satu perjanjian baru antara Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mu’min dengan Syarikat Overback dan Dent. Mereka berjaya memperbaharui pajakan sebagaimana yang telah diperolehi oleh Moses tetapi kali ini tanpa had tempoh pajakan. Sultan Abdul Mu’min turut bersetuju menyerahkan semua hak pertuanan dan kedaulatan ke atas kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai Sabah kepada Overback dan Dent manakala Sultan Brunei pula telah memperolehi ganjaran $12,000 setahun.

Bagi mengatasi masalah pertindihan kuasa dengan Kesultanan Sulu kerana Sultan Sulu juga dikatakan mempunyai kuasa ke atas Sabah, Overback dengan diiringi oleh Pemangku Gabenor Labuan, Willian Hood Treacher telah menemui dan mengadakan rundingan dengan Sultan Sulu. Hasil rundingan tersebut mereka telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Sulu pada 22 Januari 1878 di Meimbong, selatan Kepulauan Sulu. Menurut perjanjian tersebut, Sultan Sulu iaitu Sultan Jamal Al-Alam bersetuju menyerahkan kesemua tanah dan hak pertuanan meliputi kawasan dari Sungai Sibuku hingga Sungai Padasan kepada Syarikat Overback dan Dent.

Setelah gagal mendapatkan bantuan kewangan daripada pemodal dan kerajaan Austria, pada tahun 1880, Overback pula telah menjualkan hak miliknya kepada Alfred Dent menyebabkan Dent mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir Sabah. Namun begitu Dent pula berhadapan dengan masalah untuk mentadbir Sabah akibat kekurangan modal. Walau bagaimanapun menerusi bantuan beberapa orang pedagang British akhirnya Dent telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dikenali sebagai Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad. Dent telah menjual saham syarikat untuk medapatkan modal di samping memohon untuk mendapatkan piagam diraja. Piagam ini sangat penting bagi meningkatkan nilai perdagangan syarikat serta mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan British serta dapat manghalang kuasa-kuasa Barat yang lain daripada bertapak di Sabah.

Pada 1 November 1881, kerajaan British telah memberikan piagam diraja dan nama syarikat telah ditukar kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Alfred Dent telah dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat yang manakala Willian Hood Treacher pula telah dilantik sebagai Gabenor British yang pertama di Sabah. Melalui pemberian piagam diraja, secara tidak langsung kerajaan British telah berjaya meluaskan kuasa dan pengaruhnya di Sabah. Pada Mei 1888, penguasaan British di Sabah semakin kukuh apabila Sabah telah dijadikan negeri naungan British (British protectorate state) sebagaimana negeri Sarawak dan Brunei.


Kesimpulan

Penghujung abad ke-19, Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu telah kehilangan hak, kepentingan dan dan ketuanan di wilayah Sabah apabila British melalui SBBU berkuasa sepenuhnya terhadap wilayah tersebut pada 1888. SBBU telah memajukan Sabah demi kepentingan mereka dengan pelbagai pembaharuan ekonomi dan sosial tetapi pada hakikatnya pembaharuan tersebut tidak menguntungkan penduduk tempatan. Campurtangan British dalam politik Sabah akhirnya telah mencetuskan penentangan di kalangan rakyat tempatan.

Comments

Unknown said…
sgt bermaklumat. terima kasih
Unknown said…
wa bermaklumat dan padat terima kasih

Popular posts from this blog

Bincangkan faktor-faktor campurtangan British di Perak dan Selangor

Bincangkan ciri-ciri masyarakat Zaman Pra sejarah Awal dan Pra sejarah Akhir

TERANGKAN CIRI-CIRI PEMBANDARAN TAMADUN ROM